Mahkamah Rayuan tolak rayuan Musa, 32 Adun

0
3

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak Tan Sri Musa Aman; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman di Putrajaya.

Panel yang turut disertai Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan keputusan itu selepas bersidang selama dua hari bermula semalam, lapor Astro Awani.

Awal bulan lalu, Musa bersama 32 penyandang kerusi DUN Sabah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN yang dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin Juhar pada 30 Julai lalu.

Sebelum pembubaran DUN, Musa mendakwa berjaya mengumpul majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan negeri berikutan tindakan 14 Adun kerajaan beralih arah menyertai pembangkang.

Mereka membentuk pakatan baharu untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan dengan Musa sebagai Ketua Menteri, namun gagal apabila Juhar membubarkan DUN berdasarkan permintaan Mohd Shafie.

Sementara itu, Musa ketika ditemui di pekarangan mahkamah enggan mengulas, sebaliknya memaklumkan beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.