INSTITUT Geologi Malaysia (IGM) menyarankan satu kajian bencana geologi menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran diterajui ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.
Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata pihaknya berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semulajadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.
Katanya, kajian juga disyorkan bersifat ‘transdisciplinary’ dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan.
“Kajian sebegini masih belum lagi dilakukan secara terperinci dan memerlukan komitmen pelbagai pihak.
“Sekiranya kejadian aliran debris ini berlaku semasa kehadiran pengunjung atau pelancong yang ramai, sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Rasid berkata sementara laporan kajian dikeluarkan pasukan penyiasat, pihaknya meminta ahli-ahli geologi supaya tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan.
“IGM amat komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains.
“Pada masa sama memahami tahap keterancaman setempat dan mencari solusi bersifat jangka masa panjang berasaskan maklumat geologi lengkap, tepat dan komprehensif,” katanya lagi.
Petang kelmarin, kejadian kepala air di Geopark Kebangsaan Gunung Jerai memberikan impak terhadap kawasan di kaki gunung dan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Dilaporkan, hujan yang ekstrem dikatakan antara punca pencetus kejadian itu.
Sumber Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaporkan Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281mm manakala Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan 172mm.
Bagaimanapun, Abd Rasid berkata punca sebenar kejadian masih lagi memerlukan kajian yang terperinci. – Malaysiapost

