Sokongan bersyarat bukan luar biasa, tidak menyalahi Perlembagaan

0
2

SOKONGAN bersyarat Perikatan Nasional (PN) terhadap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah wajar dan tidak melanggar Perlembagaan.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri sementara, Datuk Marzuki Mohamad menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa syarat yang diminta PN itu tidak sah.

“Saya tak faham kenapa sesetengah pihak mengatakan sokongan PN kepada Ismail Sabri tidak sah semata-mata kerana syaratnya ialah pertama menteri yang bakal dilantik mestilah bebas daripada pertuduhan jenayah.

“Kedua kerajaan PN mesti terus hormat prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki menjelaskan antara sumpah jawatan Perdana Menteri ialah mesti berikrar untuk menjunjung Perlembagaan.

“Pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti dijunjung oleh mana-mana Perdana Menteri yang dilantik.

“Sebelum Jemaah Menteri dilantik, proses vetting akan dibuat untuk memastikan bakal menteri tiada rekod jenayah, bebas rasuah, tidak ada rekod sangkut bayaran cukai LHDN dan bukan seorang yang bankrap. Ini selari dengan syarat PN,” katanya.

Malah beliau berkata, syarat yang diletakkan PN itu adalah syarat biasa dan selari dengan prosedur sebelum melantik seseorang menteri.

Katanya lagi, ia bukan perkara luar biasa kerana jika tidak dibuat, maka itu luar biasa.

“Tun Mahathir dilantik sebagai PM7 atas syarat dia melantik Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan kemudiannya menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu dunia tahu syarat ini yang ditandatangan on the dotted lines oleh semua ketua parti PH sebelum PRU14. Tun M dilantik sebagai PM7 atas syarat ini dan pelantikannya adalah sah.

“Saya cari dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perkataan “unconditional confidence of the majority” atau kepercayaan majoriti tanpa syarat. Saya tak jumpa perkataan “unconditional”. Yang saya jumpa hanyalah perkataan “confidence of the majority” atau kepercayaan majoriti.

“Jadi, janganlah kita suka-suka tambah perkara yang tiada dalam Perlembagaan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan sokongan bersyarat dalam memilih Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Katanya, Ismail Sabri mesti melantik jemaah Kabinet yang bersih dan bebas daripada kes pendakwaan mahkamah. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here