Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak OKU

0
2

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pengakuan itu dilafazkan Siti Bainun, 29, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, mengabaikan mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam dan mendapat perhatian media.

“Tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis berhampiran.

“Mangsa dalam kes ini orang kurang upaya (OKU) sindrom down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, memohon jaminan rendah dengan alasan sudah memberi kerjasama kepada polis, selain berjanji tidak akan gagal hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

“Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak,” katanya. _ Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here