WANI Comel yang pernah tular di media sosial sebelum ini kerana mengalami masalah berat badan disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam, Rabu lalu.
Wani Comel atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira Ibrahim, meninggal dunia akibat berperang melawan virus Covid-19.
Difahamkan, rakan baik Wani Comel iaitu Putri Nur Rabiatul Nabihah juga meninggal dunia pada hari yang sama kira-kira pukul 4.40 pagi, akibat jangkitan yang sama.
Berita tersebut dikongsi di laman Instagram @wanicomel20, apabila ibu kepada Putri Nur Rabiatul memuat naik satu hantaran memaklumkan tentang perkara itu.
“Saya ingin maklumkan Nurul Airawani Nazira @Wani Comel dah kembali ke rahmatullah pada jam 9 pm tarikh 18 Ogos 2021.
“Wani pergi di hari yang sama anak saya meninggal. Mereka berdua meninggal disahkan Covid-19. Allahuakbar Allahuakbar.
“Sayu hati saya dua insan yang saya sayangi telah pergi di hari yang sama. Saya mohon pada semua rakan-rakan sedekahkan AlFatihah untuk Wani Comel dan Putri Nur Rabiatul Nabihah,” tulisnya.
Media melaporkan bahawa Wani Comel juga telah menerima vaksin lengkap kira-kira seminggu lalu.
Wani Comel sebelum ini pernah mendapat perhatian umum selepas isu berat badannya yang mencecah 300 kilogram (kg) tular di media sosial.
Kemudian, kisahnya sekali lagi menjadi perhatian selepas tampil membuat pendedahan yang mendakwa dirinya dianiaya dan dimanipulasi seorang usahawan terkenal atas situasi berat badannya. – Malaysiapost

