Serah kepada Adun pilih Ketua Menteri

0
3

BARISAN Nasional (BN) akan menyerahkan keputusan memilih Ketua Menteri Sabah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) jika gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia antara kuasa autonomi yang diberikan kepada BN dan Umno Sabah, yang mana keputusan dibuat tanpa campur tangan pemimpin Pusat.

Katanya, ini kali pertama kuasa seumpama itu diberikan kepada BN Sabah sejajar komitmen BN Pusat untuk menunaikan permintaan dan kehendak rakyat Sabah.

“Dewan tertinggi BN membuat keputusan agar Sabah ditadbir oleh anak-anak Sabah sendiri, maka dewan tertinggi BN memutuskan untuk memberi autonomi kepada BN Sabah.

“Dengan adanya autonomi ini, BN Sabah akan memilih sendiri calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan jika cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, kita serah kepada Adun untuk pilih Ketua Menteri dalam kalangan Adun yang menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran jentera BN untuk PRN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, BN harus kembali memerintah Sabah kerana rakyat negeri itu merindui BN sebagai kerajaan mereka.

“Kita tahu ‘track record’.kita sebelum ini yang terbaik, banyak pembangunan tetapi disebabkan fitnah dan tohmahan, rakyat terpengaruh.

“Bagaimanapun, rakyat menyesal dengan perubahan kerajaan negeri dan mahu BN kembali. Sebabnya dalam dua tahun ini terlalu banyak masalah dengan kerajaan sekarang.

“Kita mahu Sabah yang mempunyai banyak potensi ekonomi dikembalikan agar pertumbuhan ekonomi naik semula,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian ekonomi dengan kadar pertumbuhan 0.5 peratus tahun lalu dan 1.5 peratus pada 2018, berbanding lebih 8.5 peratus ketika diperintah BN sebelum ini menunjukkan kerajaan sekarang tidak menumpukan kepada ekonomi.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya hanya membatalkan projek dan menghentikan kontraktor Pan Borneo, selain gagal menaik taraf kemudahan lain termasuk jalan di luar bandar dan gagal mewujudkan peluang pekerjaan.

Katanya, komitmen BN apabila berjaya membentuk kerajaan selepas 26 September ini akan diperincikan dalam manifestonya yang akan dilancarkan selepas penamaan calon nanti.

Jelasnya, misi BN pada kali ini adalah untuk menebus maruah dengan dibantu pemimpin dari Pusat sebagai penyelaras di setiap DUN bagi membantu calon BN memenangi setiap kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, katanya BN tidak mahu menyentuh mengenai parti lain yang mahu bertanding sebagai kuasa ketiga kerana hanya mahu BN kembali.

“Sebolehnya, kita mahu pertembungan dua penjuru pada PRN ini tapi mungkin kita terpaksa berdepan dengan tiga penjuru kalau ada kuasa ketiga untuk meriahkan PRN.

“Namun, kita tidak sentuh mereka, kita serah kepada rakyat untuk tentukan kerana kita mahu kuasa ketiga, kita mahu BN kembali,” katanya.-Malaysiapost