6 ditahan seludup dadah dalam alat penyedut asap memasak

0
2

TAKTIK sindiket pengedaran dadah menyembunyikan syabu dalam alat penyedut asap memasak sebelum dihantar menggunakan khidmat syarikat penghantaran terbongkar dengan penahanan enam lelaki dalam serbuan di Pandan Perdana, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata hasil risikan JSJN Bukit Aman terhadap satu sindiket dadah yang aktif di Lembah Klang, satu serbuan dijalankan jam 10.40 malam Ahad lalu di sebuah apartmen di Pandan Perdana.

Menurutnya, dalam serbuan itu enam lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun ditahan.

“Hasil siasatan lanjut, polis membuat serbuan susulan di sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas enam kotak mengandungi alat penyedut asap memasak yang akan dipasarkan ke luar Semenanjung Malaysia.

“Polis menemui 30 bungkusan plastik mengandungi dadah yang disembunyikan dalam alat penyedut asap berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berat dadah jenis methamphetamine yang dirampas adalah 30.98 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.115 juta.

“Hasil ujian urin, dua suspek positif dadah ketamin, manakala empat lagi negatif dan hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Semua suspek kini direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here