TUJUH lokaliti membabitkan Sabah, Kelantan dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini susulan penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata lokaliti yang dilaksanakan PKPD adalah empat di Sabah, dua di Kelantan dan satu di Pahang.
Menurutnya, di Sabah lokaliti yang terbabit adalah Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus di Telupid serta Perumahan Ladang Cepat Wawasan 7000 dan Perumahan Ladang Meridian Paitan.
“Kelantan kawasan yang terbabit adalah dua perkampungan Orang Asli di Pos Blau, Gua Musang iaitu Kampung Blau dan Kampung Batang.
“Di Pahang pula kawasan adalah Kampung Orang Asli Sungai Lebak, Bentong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua kawasan terbabit dilaksanakan PKPD bermula 21 Ogos hingga 3 September ini dan keputusan dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan.
Sementara itu, beliau berkata empat lokaliti yang dijadualkan tamat PKPD pada esok dilanjutkan lagi sehingga 3 September ini.
“Kawasan dilanjutkan PKPD adalah Taman Nilam, Langkawi, Kedah; Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebalik, di Tawau, Sabah; dan Penjara Bentong, Pahang,” katanya.
Rodzi berkata, tiga lokaliti pula ditamatkan PKPD bermula esok iaitu Kampung Moral, Tumpat, Kelantan; Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod, Sabah; dan Felda Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis, Pahang. – Malaysiapost

