Negeri Fasa 1 PPN boleh makan di kedai mulai esok

0
2
Kelihatan restoran mamak di Desa Sri Hartamas tiada pelanggan yang makan disebabkan arahan bungkus makanan sahaja dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan kemudahan tambahan itu bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Muhyiddin, kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya adalah aktiviti makan di kedai atau ‘dine-in’.

“Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik kerana risiko penyebaran Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan lain yang dibenarkan adalah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

“Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house juga dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Namun operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house tidak dibenarkan.

“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis, badminton, golf, permotoran dan seumpamanya serta perkelahan dan perkhemahan,” katanya.

Menurutnya, Sidang Khas MKN juga bersetuju membenarkan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya iaitu operasi pasar malam dan pasar minggu.

“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa esok dan perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu yang terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here