Tubuh kerajaan stabil elak dijatuhkan lagi – Tajuddin

0
2

SEMUA gabungan dalam kerajaan baharu yang akan ditubuhkan perlu menjaga hati, perasan dan aspirasi parti yang menganggotainya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ia penting bagi mewujudkan kerajaan stabil serta mengelakkan keadaan sama seperti sebelum ini berulang dengan satu demi satu kerajaan dijatuhkan.

“Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan yang akan ditubuhkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden Umno), eloklah dibincangkan elok-elok.

“Kita mesti menjaga hati dan perasaan dan juga aspirasi setiap parti yang menganggotai kerajaan itu nanti iaitu Umno, Bersatu dan PAS.

“Barulah kita boleh menubuhkan satu kerajaan yang stabil, kita tidak mahu lagi mengalami keadaan lalu di mana kerajaan tidak stabil,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini apabila kerajaan tidak stabil wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti gabungan.

“Adanya rasa tidak puas hati, tekanan mana-mana pihak daripada parti itu parti ini. Siapa yang rugi? Yang rugi kalau kerajaannya tidak stabil dan dijatuhkan satu demi satu ialah rakyat.

“Kita kena fikir kepentingan rakyat. Kita perlu fokus pada agenda sebenar iaitu menangani masalah Covid-19, masalah ekonomi dan masalah pekerjaan,” katanya.

Tajuddin berkata, jika berterusan melakukan kesilapan yang sama maka rakyat akan menderita.

“Kita perlu menjadi ahli politik yang bertanggungjawab,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat terhadap Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, beliau mengesahkannya.

“Wujud 114 sokongan dan semua yang menyokong sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

“Tiap-tiap seorang daripada Ahli Parlimen mengesahkan sokongan mereka melalui Akuan Bersumpah (SD) yang dihantar… mengesahkan bahawa sokongan yang dibuat adalah secara rela hati, tanpa paksaan dan sebagainya.

“Tuanku ingin mengetahui sokongan yang diberikan adalah ikhlas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here