Presiden MFL baharu ada jiwa bola sepak

0
2

PELANTIKAN Datuk Ab Ghani Hassan sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) yang baharu disifatkan tepat kerana beliau mempunyai jiwa mendalam terhadap bola sepak.

Ini kerana Ab Ghani bukan sahaja pernah terlibat dalam pengurusan malah adalah bekas pemain, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Satianathan.

Satianathan berkata secara kebetulan beliau pernah bersama Ab Ghani dalam pasukan Negeri Sembilan pada lewat 1980-an sekali gus mengenali perwatakan Presiden MFL itu yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak.

Selain itu, Satianathan pernah menjadi penolong jurulatih Negeri Sembilan pada tahun 1993 ketika Ab Ghani sebagai penolong pengurus.

“Pelantikan beliau memang tepat kerana telah lalui banyak pengalaman dari sudut pengurusan dan pemain, saya boleh bercakap begini kerana saya telah kenal lama Datuk Ab Ghani.

“Saya menjadi ketua pasukan Negeri Sembilan pada 1988 dan beliau ada beraksi bersama saya sebagai pertahanan. Semasa bermain satu pasukan, beliau begitu berdisiplin dan sentiasa bekerjasama dalam pasukan.

“Jika tidak kerana beliau mahu berikan fokus terhadap kerjaya selaku pegawai bank waktu itu, saya rasa dia boleh bermain untuk peringkat kebangsaan kerana ada kualiti yang baik dari segi tandukan, bijak membaca permainan serta kaki kiri yang cukup baik,” katanya dipetik dari laman web MFL hari ini.

Bekas ketua jurulatih Selangor itu berkata, setahun kemudian, dia menjadi jurulatih bagi skuad Piala Emas Raja-Raja dan Ab Ghani berada dalam pasukan yang menyaksikan buat pertama kalinya Negeri Sembilan muncul juara.

“Pengalaman tidak boleh dilupakan pada waktu itu ialah dia yang asalnya penyerang telah beraksi selaku pertahanan tetapi boleh bermain dengan baik.

“Kemudian di peringkat pengurusan, biarpun selaku penolong pengurus pada waktu tersebut beliau sering kali mendampingi pemain serta mudah diajak berbincang, beliau sudah ada semua pengalaman dari peringkat bawah sebelum ke MFL,” katanya.

Isnin lalu, Ab Ghani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL dipilih sebagai Presiden MFL baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin bertarikh 12 Ogos 2021.

Ab Ghani, 58, mula mewakili Negeri Sembilan dalam Liga Dunhill dan Piala Malaysia pada 1982 ketika berusia 19 tahun.

Malah beliau pernah membuat penampilan bersama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam skuad Pilihan Negeri Sembilan menentang kelab Belanda, FC Groningen yang diwakili bintang Singapura, Fandi Ahmad.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, skuad Pilihan Negeri Sembilan tewas 3-2. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here