Umno dijangka calonkan Ismail Sabri sebagai PM

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Aiman Hanif

UMNO dijangka memberi laluan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menurut sumber Umno, situasi terbaru itu dicapai sebagai menyekat usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Perkembangan terbaru menyaksikan 11 daripada 15 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sedia memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

“Setakat ini Umno dijangka memberi laluan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas 11 daripada 15 Ahli Parlimen yang menarik sokongan kini memihak Ismail Sabri.

“Ini kerana untuk memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri, lebih 20 Ahli Parlimen Umno yang bersama Ismail Sabri tidak akan memberi sokongan.

“Malah, Najib juga sudah menyatakan kesediaan untuk menyokong Ismail Sabri. Hanya tinggal tiga ke empat Ahli Parlimen Umno termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang belum membuat keputusan,” katanya kepada Malaysiapost, malam ini.

Keputusan untuk menyokong Ismail Sabri dibuat kerana Perikatan Nasional (PN) sedia memberi sokongan kepada bekas Menteri Pertahan itu.

Sekarang sedang berlangsung pertemuan Ahli Parlimen Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan Umno “kem Ahmad Zahid” mencalonkan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai calon Perdana Menteri.

Manakala “kem Ismail Sabri” terus berusaha untuk mendapatkan majoriti buat Naib Presiden Umno itu.

Dalam pada itu, sumber bekata Ahmad Zahid mengarahkan Ahli Parlimen Umno supaya tidak menandatangani sebagai akuan bersumpah sehingga keputusan dicapai malam ini.

“Nampaknya untuk menyelamatkan keadaan Ahmad Zahid dan beberapa orang lagi Ahli Parlimen Umno perlu kompromi untuk memberi laluan kepada Ismail Sabri,” katanya lagi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here