KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan mengenai pembentukan kerajaan termasuk calon Perdana Menteri.
Wan Saiful berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah berbincang mengenai hal itu semalam, sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambilkira semua pandangan mengenai calon Perdana Menteri dalam mesyuarat tersebut.
“Tetapi Tan Sri Muhyiddin tidak dapat hadir ke mesyuarat itu kerana kesibukan urusan setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Maka kita juga memutuskan bahawa hasil mesyuarat itu akan dibentangkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Faizal Azumu kepada Presiden (Muhyiddin) untuk keputusan akhir yang akan diangkat ke perbincangan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, selepas mesyuarat MPT, satu perbincangan juga telah diadakan dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu untuk mengambilkira pandangan mereka.
“Jadi proses dalam Bersatu ini adalah satu konsultatif yang telus dan melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Kami rasakan inilah yang sebaiknya kerana dalam Bersatu, kita sentiasa mencari kata sepakat supaya kita bergerak dalam satu pasukan yang harmoni,” katanya.
Wan Saiful berkata, semua input perbincangan telah dibentangkan kepada Muhyiddin untuk diputuskan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
“Kita serahkan sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden parti untuk membuat keputusan akhir yang sudah pasti akan diumumkan apabila tiba masanya.
“Saya harap semua ahli-ahli Bersatu dapat bertenang dan memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful juga menyeru rakyat agar memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

