Annuar cadang pemimpin kanan BN calon PM

0
2

AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan Barisan Nasional (BN) untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Annuar berkata, beliau akan mempersembahkan nama calon berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Annuar juga berkata, beliau berharap cadangan itu akan disokong oleh Ahli Parlimen daripada pelbagai parti lain.

“Saya baru terima surat Yang Dipertua Dewan Rakyat, mengarahkan Ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon PM Ke-9,untuk dipersembahkan kehadapan Agong.

“Saya akan tunaikan tanggongjawab saya, setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya serta kawan kawan dari parti sahabat.

“Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN dan mohon agar turut di sokong oleh kawan kawan ahli parlimen pelbagai parti yang lain.” tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Dalam pada itu, Annuar mengajak semua pihak untuk memperkasa semula perpaduan parti serta mengukuhkan muafakat dan penyatuan orang Melayu, Bumiputera serta rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

“Ini masanya kita lupakan yang lalu,pandang kehadapan dengan perkasakan semula perpaduan parti,serta perkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu,kaum bumiputera serta rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

“Doakan yg terbaik buat Malaysia,dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budibicara Yang di-Pertuan Agong. Kepada Allah kita berserah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga jam 4 petang esok untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis berkenaan.

Arahan berkenaan dikeluarkan menerusi notis Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Al-Sultan Abdullah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here