BEKAS Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar akan membawa janji-janji Pakatan Harapan (PH) agar mereka laksanakan kali ini, jika kembali berkuasa.
Beliau berkata, ia akan diperjuangkan memandangkan beliau bukan lagi menjadi Ahli Parlimen pentadbiran.
“Memandangkan saya bukan lagi menjadi Ahli Parlimen pentadbiran, maka saya sebagai Ahli Parlimen Segamat, akan membawa janji-janji PH agar mereka laksanakan kali ini, jika mereka kembali berkuasa.
“Jangan pula kata kerajaan mereka tidak ada duit kerana daripada 25 manifesto untuk masyarakat India, lebih dari 15 tidak memerlukan kewangan, cukup takat niat untuk melaksanakannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) berakhir semalam selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh anggota Kabinet.
Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata beliau berharap jika PH berkuasa semula, jangan pula mengabaikan tanggungjawab untuk kedua kalinya.
“Saya akan jadi MP pembangkang yang bertanggungjawab jika PH jadi kerajaan. Saya tetap setia dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

