Pavithra maafkan suami, sedia teruskan program masakan

0
3

“Saya maafkan suami,” kata Youtuber masakan terkenal, S Pavithra berhubung konflik rumah tangganya.

Wanita berusia 28 tahun itu tidak mahu memikirkan masalah tersebut, sebaliknya mahu memberi perhatian kepada kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya dan suami akan teruskan kehidupan seperti biasa.

“Kami juga akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube bila-bila masa sahaja,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Pavithra ditemui selepas membayar jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Wanita itu turut memohon orang ramai untuk terus memberi sokongan terhadap rancangan masakan kendalian mereka di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’.

“Saya harap tiada yang salah faham dan saya sendiri pun tidak ambil hati atas apa juga komen netizen di media sosial. Teruslah beri sokongan kepada kami,” katanya.

Pagi tadi, suaminya, M Sugu, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di tempat awam.