KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan tiada varian Lambda dikesan di negara ini.
“Tidak benar (varian Lambda dikesan di Malaysia) dan pemeriksaan genomik terbaharu menunjukkan kesemua 43 sampel adalah varian delta sebagai VOC (varian membimbangkan) yang dominan.
“Setakat ini tidak ada varian Lambda yang dapat dikesan di negara kita,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemilik akaun Twitter yang meminta pengesahannya varian Lambda telah tiba di Malaysia.
Varian Lambda adalah satu lagi varian baharu disahkan ditemui di Amerika Syarikat, Peru dan Jepun yang dikesan lebih mudah berjangkit dan lebih kuat melawan imuniti individu yang sudah divaksin.
Baru-baru ini Dr Noor Hisham dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan usaha pelaksanaan penjujukan genom dalam membendung kemungkinan penularan varian itu.
Selain itu, katanya, kawalan sempadan amat penting untuk membendung jangkitan varian baharu itu, selain menjalankan penilaian risiko sebelum membenarkan individu yang pulang dari luar negara untuk bercampur dengan komuniti. – Malaysiapost

