SUSULAN tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam selepas 17 bulan berkuasa, situasi politik negara terus menjadi perhatian hari ini.
Percaturan dalam kalangan parti politik dipercayai masih giat berlaku dalam usaha mendapatkan cukup sokongan bagi memilih siapa calon Perdana Menteri yang baharu.
Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Caretaker hari ini, difahamkan Yang di-Pertuan Agong telah memanggil ketua-ketua parti politik mengadap di Istana Negara, petang ini.
Ia dipercayai berkaitan dengan perbincangan mengenai bakal Perdana Menteri kesembilan.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan perkembangan itu kepada Malaysiapost malam tadi dan memaklumkan Umno akan diwakili Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Media melaporkan, perjumpaan itu dijangka turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Tinjauan Malaysiapost di kediaman Muhyiddin pagi ini menyaksikan suasana sunyi tanpa sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan kenamaan seperti beberapa hari lalu.
Difahamkan beliau masih berada di kediamannya.
Malaysiapost turut difahamkan parti-parti politik utama hari ini akan sibuk dengan beberapa mesyuarat susulan perkembangan politik semasa.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri serta-merta.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan baginda turut perkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – Malaysiapost

