Krisis politik yang berlaku wajar dijadikan pengajaran

0
2

NEGARA memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman bukan sahaja untuk mentadbir, malah menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, krisis politik yang berlaku kini sewajarnya dijadikan pengajaran kerana ekoran daripada kekalutan politik, ia tidak membantu dalam menghadapi krisis kesihatan ketika ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet atas tugas yang dilaksanakan sepanjang tempoh menjawat jawatan yang diamanahkan terhadap mereka.

“Usahlah kita terus mencari kesalahan mana-mana pihak kerana keputusan telah pun dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terima kasih sepanjang perkhidmatan yang diberikan oleh Tan Sri.

“Selepas ini, kita serah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik kerajaan baharu supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sharkar berkata, apa yang perlu diutamakan adalah krisis kesihatan ekoran pandemik Covid-19 dapat diatasi dan negara segera mencapai imuniti kelompok serta rakyat pulih daripada kemelut kekalutan ekonomi.

Jelas beliau, semua ahli Umno perlu kembali bersatu hati di bawah parti keramat Melayu berkenaan.

“Perikatan Nasional (PN) sekadar ruang untuk Umno menyumbang kepada bangsa dan negara. Perjalanan kita semua dalam Umno telah mendewasakan kita dan persahabatan kita mesti terus kekal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here