Hayat kerajaan PN cuma 18 bulan

0
2

HAYAT kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya bertahan kurang 18 bulan susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kabinet menyembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Tempoh tersebut kurang sedikit berbanding 22 bulan pentadbiran kerajaan terdahulu pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ini kali kedua kerajaan Malaysia tumbang tanpa melibatkan pilihan raya umum (PRU) dalam sejarah negara.

Kerajaan PN terbentuk pada 1 Mac 2020 apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Pada 10 Mac 2020, kerajaan PN lengkap sepenuhnya bertunjangkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Kerajaan PN PN terdiri daripada parti Bersatu, Umno, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Pentadbiran kerajaan PN juga kali pertama tanpa Timbalan Perdana Menteri seperti kelaziman, namun Muhyiddin melantik tiga menteri kanan bagi membantunya.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Datuk Dr Radzi Jidin (Pendidikan).

Di awal pentadbirannya, Muhyiddin mendapat sokongan kuat daripada rakyat susulan kejayaan kerajaan menangani penularan Covid-19 menerusi pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah pelbagai bantuan yang diumumkan kerajaan menyebabkan Muhyiddin diberikan panggilan ‘Abah’ oleh netizen.

Bagaimanapun peningkatan semula kes Covid-19 yang dipercayai akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta kegagalan kerajaan PN membendung penularannya, menyebabkan ramai rakyat semakin terkesan.

Ia menyebabkan populariti Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya mulai merosot.

Tindakan Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin serta kerajaan PN menambah lagi kemelut politik negara, seterusnya menyebabkan Muhyiddin hilang mejoriti serta keabsahannya sebagai Perdana Menteri dipersoalkan.

Drama politik negara masih belum berakhir, Muhyiddin dijangka mengadakan sidang media mengenai kedudukannya dan kerajaan PN petang ini.

Siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu terus menjadi persoalan. – malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Muhyiddin Yassin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here