TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berharap semua pihak khususnya ahli PAS terus bertenang dan berdoa supaya kemelut politik yang melanda negara ketika ini dapat diselesaikan dengan baik.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata keadaan ketika ini perlu dihadapi dengan fikiran yang lapang serta yakin bahawa apa sahaja yang berlaku sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan adalah yang terbaik.
“Keadaan dalam hidup kita tidak tahu apa sebenarnya yang Allah sedang atur untuk kita, tetapi kita yakin apa yang disusun ialah yang terbaik dan kita beriman dengan qada dan qadar.
“Apa yang berlaku sebenarnya telah ditetapkan sejak azali namun dirahsiakan oleh Allah supaya kita berusaha, bekerja untuk pahala kepada kita atas kerja yang dibuat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Menurutnya, semua pihak harus mengekalkan suasana kedamaian, ketenteraman dan tidak menimbulkan suasana yang gawat di kalangan masyarakat.
“Insha-Allah saya dan rakan dalam PAS serta dalam Kabinet akan uruskan dengan sebaik mungkin situasi ini supaya kestabilan dan ketenangan negara dapat dikekalkan.
“Kita perlu yakin dan percaya kepimpinan kita sedang lakukan apa yang terbaik dan doakan semoga kemelut ini dapat diselesaikan untuk semua,” katanya.
Belia turut mengingatkan supaya mendapatkan maklumat mengenai apa yang berlaku daripada sumber yang betul supaya tidak terpedaya dengan berita palsu atau fitnah yang sengaja disebarkan pihak tertentu.
“Sentiasa dapatkan maklumat daripada sumber yang dikemaskini oleh part dan mudah-mudahan kita tidak terpedaya dengan fitnah daripada pihak yang ingin menimbulkan suasana tidak harmoni dikalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost.

