Hayat kerajaan PN berakhir Isnin ini, Muhyiddin mengalah

0
2

Aiman Hanif

HAYAT kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka akan berakhir Isnin ini apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan “mengaku kalah” dan menerima hakikat telah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut sumber di Putrajaya, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti PN dan menteri Kabinet petang ini bagi menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan.

Ia selepas tujuh tawaran yang dikemukakannya semalam bagi menyambung hayat kerajaan PN ditolak oleh pembangkang.

“Kerajaan PN akan tumbang Isnin ini, Muhyiddin telah menerima hakikat bahawa dia tiada lagi majoriti di Dewan Rakyat.

“Dalam pertemuan hari ini di Putrajaya, Muhyiddin telah mengaku kalah dan akur kepada kehendak Perlembagaan Persekutuan dan berhasrat untuk meletak jawatan.

“Anggota Kabinet PN akur dengan pendirian Muhyiddin dan Isnin ini beliau akan mempersembahkan hasrat untuk meletak jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Malaysiapost.

Sebelum ini Malaysiapost melaporkan mengenai sepucuk surat yang tular dari Speaker Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kedudukan sokongan yang diperoleh Muhyiddin.

Dalam surat yang diutuskan Datuk Azhar Azizan Harun kepada Istana Negara itu, beliau mengesahkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kini hanya tinggal 100 sokongan Ahli Parlimen saja.

Azhar mengutuskan warkah berkenaan sebagai menjawab surat Istana Negara yang bertarikh 9 Ogos 2021 yang mahukan keabsahan Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Semalam, Muhyiddin dalam perutusan khasnya berkata beliau tidak akan meletak jawatan kerana tiada Ahli Parlimen lain yang memiliki majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin turut mengemukakan tujuh tawaran kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi menyokongnya pada usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, parti pembangkang dalam kenyataan balas menolak tawaran Muhyiddin.

Dalam pada itu sumber bekata, anggota Kabinet Muhyiddin juga telah mula mengemas pejabat selepas mengetahui keputusan Muhyiddin.

“Muhyiddin tiada pilihan lain selain meletak jawatan kerana beliau jelas tidak lagi memiliki majoriti.

“Sehingga kini Ahli Parlimen pembangkang menolak tawaran beliau kerana pengkhianatan sebelum ini terhadap Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here