Pulau peranginan utama dijangka dibuka awal bulan depan

0
2

PULAU peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian dijangka dibuka semula awal bulan depan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia kerana keseluruhan pulau-pulau tersebut dijangka dapat mencapai tahap imuniti kelompok pada akhir Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, ia juga tertakluk kepada keputusan semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang akan ditentukan kerajaan.

“MOTAC sentiasa bekerjasama dengan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan dan negeri supaya program vaksinasi dipergiatkan terutama melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOTAC hari ini mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri.

Sesi libat urus secara maya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata, sesi libat urus tersebut penting bagi membolehkan penggiat industri bersiap sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutama yang melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara dalam masa terdekat.

“Sesi yang diadakan secara maya ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas pihak industri agar persediaan rapi dapat dilakukan sebelum pembukaan sektor pelancongan dilaksanakan kelak.

“Apa yang paling penting semua pihak yang terlibat dapat bergerak dalam satu arah yang sama bagi memastikan setiap perancangan serta strategi direncanakan berjalan lancar.” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelak penularan Covid-19 dan menyebabkan penutupan semula dibuat.

“MOTAC juga sedang mengemaskini dan menyiapkan SOP yang berkaitan sektor pelancongan,” ujarnya.

Pada 8 Ogos lalu kerajaan mengumumkan individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan hotel dan homestay.

Selain itu, kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here