Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

0
2

IMAM Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail, meninggal dunia di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang di Rawang, awal pagi tadi.

Masjid Negara menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan Allahyarham, 53, kembali ke rahmatullah sekitar jam 4 pagi tadi akibat komplikasi jantung.

“Kami kehilangan seorang rakan, imam dan guru yang penuh dedikasi dalam tugasnya. Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan Solihin.

“Didoakan agar isteri, anak-anak dan ahli keluarga bersabar menghadapi ujian ini,” kata hantaran itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menyampaikan ucapan takziah.

“Saya ada memaklumkan kepada beliau untuk menziarahinya bila ada masa yang sesuai.

“Namun, perancangan Allah SWT sudah pasti ada hikmahnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, Allahyarham yang dilahirkan pada 14 Ogos 1968, meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya ke-53 hari ini.

Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni, berkata pegawai kanannya itu sebelum ini menghadapi masalah kesihatan berkaitan jantung dan mula mendapatkan rawatan sejak tahun 2018.

“Khisamudin juga mendapatkan rawatan di Hospital UiTM Sungai Buloh sejak seminggu lalu sebelum meminta untuk pulang ke rumahnya di Kota Puteri semalam,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here