EMPAT parti pembangkang menolak sekeras-kerasnya tawaran politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui ucapan khas yang dibuat petang semalam.
Kenyataan bersama berhubung perkara itu dikeluarkan Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Kenyataan itu berkata, sejak tahun lalu lagi, parti-parti pembangkang telah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement).
“Walaupun Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan serta kebajikan rakyat.
“Namun beliau dengan sombong telah menolak segala tawaran pembangkang. Sejak hari pertama dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan undang-undang demi kuasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keangkuhan Muhyiddin untuk kekal berkuasa dengan cara membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Sabah, Kedah, Perak dan Johor.
“Kami cukup jelik dengan hipokrasi yang ditunjukkan Muhyiddin dalam Pengumuman Khas itu terutama sekali apabila beliau cuba untuk membeli sokongan menerusi reformasi Akta Lompat Parti sedangkan kerajaan beliau telah dibentuk dengan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti setelah menerima tawaran dan sogokan.
“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa bukan tanggungjawab Muhyiddin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana ahli Parlimen sebelum meletakkan jawatan,” katanya.
Sehubungan itu, keempat-empat parti mendesak supaya Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat dan membenarkan proses demokrasi berjalan semula.
“Segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat dan bukan daripada Perdana Menteri pintu belakang.
“Muhyiddin perlu letak jawatan pada kadar segera,” katanya.
Kenyataan bersama tersebut mewakili Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Baru Bian daripada PSB dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – Malaysiapost

