Balu Abam saman Ali bukan ibunya

0
3

PEGUAM yang mewakili balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali dari Tetuan Ibrahim & Fuaadah, Mohamed Ibrahim Mohamad menyangkal dakwaan bahawa anak guamnya itu menyaman ibu mentuanya, Sabariah Arshad.

Sebaliknya, Ibrahim memberitahu bahawa Sabariah bersama beberapa ahli keluarga lain yang memfailkan saman terhadap anak guamnya.

“Kes ini bermula apabila kami memfailkan satu saman bagi pihak Hidayah terhadap Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yang dikatakan mengeluar beberapa kenyataan yang menurut Hidayah berunsur fitnah terhadapnya.

“Kes ini difailkan sekitar Mei lalu dan baru-baru ini, Ali memfailkan satu lagi saman terhadap Hidayah.

“Tindakan saman yang dikeluarkan Ali turut bersama ibu, bapa dan kakak. Ini adalah tindakan yang berasingan yang dimulakan oleh kedua-dua belah pihak.

“Bagaimanapun, baru-baru ini ada usaha untuk menggabungkan dua tindakan itu. Kami ingin menjelaskan di sini bahawa kami tidak pada bila-bila masa menyaman ibu kepada Ali. Tindakan saman hanya terhadap Ali tanpa ahli keluarga lain.

“Insya-Allah perbicaraan tuntutan akan digabungkan dan didengar di mahkamah tidak lama lagi,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro.

Kenyataan itu bercanggah sama sekali dengan dakwaan pelawak yang juga adik iparnya, Ali Puteh seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Sementara itu, menerusi kes berkaitan di mahkamah syariah yang membabitkan hak penjagaan anak dan faraid, peguam Hidayah dari Fadhlina Siddiq & Associates, Fadhlina Datuk Siddiq menjelaskan tuntutan yang dibuat tiada kaitan dengan isu saman-menyaman.

“Kes pertama berkaitan faraid, ia tiada kaitan dengan saman-menyaman kerana prosiding faraid untuk mengesahkan waris-waris kepada arwah saja dan kita sudah mengenal pasti waris terbabit.

“Tidak timbul isu saman kepada mana-mana pihak melainkan untuk mengesahkan saja siapakah waris yang berhak.

“Keduanya adalah berkaitan hak penjagaan anak yang mana prosiding itu dimulai dengan saman kerana memberi ruang keadilan kepada semua pihak untuk hadir ke mahkamah demi menjaga kebajikan cucu atau anak kepada arwah.

“Jadi tidak timbul isu saman menyaman yang saya rasa pihak-pihak tertentu dan orang awam kena faham dari segi prosiding mahkamah,” katanya.

Kemelut antara Ali dan Hidayah yang bermula sejak Februari lalu terus berlarutan sehingga kini apabila kedua-dua belah pihak saling memfailkan saman.