TUDM sahkan identiti 4 anggota yang maut dalam insiden tembakan

0
2

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan identiti empat anggotanya yang meninggal dunia dalam kejadian tembakan di Skuadron 330, Kota Samarahan di Kuching hari ini. 

yang berlaku lebih kurang jam 7.15 pagi, hari ini di  Kuching, Sarawak. 

Tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Koperal Udara (KPL U) Mohammad Ehsan Sehamat; Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly Anak Nabau. 

Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli pula meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan. 

TUDM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan susulan insiden jam 7.15 pagi tadi itu. 

Sehubungan itu, TUDM meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai di samping menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia.    

“Waris kesemua anggota berkenaan telah dimaklumkan mengenai kematian mereka melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching. 

“Kesemua mereka yang meninggal dunia berasal dari Sarawak dan telah berkahwin,” kata kenyataan itu, hari ini.  

Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara telah menyantuni dan bertemu dengan waris di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching serta menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia.  

Beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan TUDM dan bantuan kebajikan kepada waris terlibat. 

“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian yang menimpa dan TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan kebajikan kepada waris anggota,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here