Kerjasama rentas parti buka ruang semua pihak perangi Covid-19 – Wan Saiful

0
2
Malay Mail

KERJASAMA rentas parti yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuka ruang untuk semua parti politik terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. 

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia selaras konsep ‘whole of nation’ dan ‘whole of society’ yang diamalkan kerajaan, dan mengembalikan fokus kepada keutamaan sebenar iaitu rakyat. 

“Pertelagahan politik berterusan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf yang sama dan menggembleng seluruh tenaga demi memastikan kita menang bersama melawan pandemik yang melanda. 

“Pengumuman Tan Sri Muhyiddin juga selaras dengan komitmen kita untuk meneruskan reformasi tadbir urus negara.  

“Menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memperkenalkan rang undang-undang baru untuk Undi 18, perubahan dalam proses Parlimen, dan kemudahan kepada pembangkang dan Ketua Pembangkang, semuanya antara reformasi diperlukan negara setelah pelbagai kerosakan yang kita warisi daripada golongan kleptokrat dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Saiful berkata, pengumuman Perdana Menteri itu juga seharusnya menjadi mekanisme tuntas untuk menghentikan usaha berterusan golongan kleptokrat dan penyokong mereka untuk merampas kuasa demi kepentingan peribadi. 

Katanya, golongan kleptokrat dan penyokong mereka tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan. 

Jelas beliau, pengumuman berani dan ikhlas Perdana Menteri hari ini menunjukkan usaha kluster mahkamah untuk membunuh karakter Muhyiddin telah gagal.  

“Saya menyeru agar semua ahli-ahli politik daripada semua parti menyokong cadangan-cadangan Tan Sri Muhyiddin.  

“Tiada alasan lagi untuk terus berbalah. Ini adalah butang ‘reset’ untuk kita kembalikan tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat dan membina semula ekonomi negara,” ujarnya. 

Terdahulu, Muhyiddin membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here