Abdul Rahim perjelas dakwaan Veveonah menipu

0
3

AHLI Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri tampil memberi penjelasan berhubung isu Veveonah Mosibin yang didakwa menipu terpaksa memanjat pokok untuk mendapat liputan Internet bagi mengambil peperiksaan secara dalam talian baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, selepas video Veveonah tular, beliau mengarahkan pegawainya untuk menyiasat latar belakang gadis berkenaan dan bertanya kepada pensyarahnya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengenai peperiksaan secara dalam talian.

Katanya, siasatan itu dilakukan kerana video yang ditularkan Veveonah mendakwanya tinggal di Kampung Sepatalang, Pitas sekali gus memberikan publisiti yang tidak baik terhadap kawasan yang diwakilinya.

“Selaku Ahli Parlimen Kudat yang bertanggungjawap, saya membuat dan melakukan siasatan.

“Pertama, saya telah meminta pegawai saya, Ambang Sobul yang berasal dari Kampung Bilangau Kecil bersebelahan Kampung Sepatalang melakukan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, Ambang memberitahunya bahawa ibu bapa Veveonah sebenarnya sudah lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang, sebaliknya menetap di pekan Pitas yang tidak berdepan masalah Internet.

Sebaliknya, beliau berkata Ambang mendakwa Veveonah hanya membuat drama untuk menarik perhatian dan publisiti dengan memuat naik video memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet kerana pelajar berkenaan sebenarnya tidak tinggal di Kampung Sepatalang.

Sementara itu, beliau berkata siasatannya dengan UMS melalui seorang dekan dan pensyarah mendapati belum ada peperiksaan akhir dibuat secara dalam talian oleh pihak universiti itu, hanya kuliah biasa.

Abdul Rahim menjelaskan, berdasarkan keterangan dekan terbabit, tidak sampai 50 peratus pelajar boleh mengikuti kuliah secara dalam talian di Sabah, malah pelajar yang tiada akses Internet diminta balik ke kampus.

Katanya, pelajar yang mengetahui kampung mereka ada masalah talian Internet membuat keputusan terus tinggal di kampus, manakala yang balik kampung dinasihatkan pergi ke pekan atau sekolah terdekat untuk mendapatkan akses Internet.

“Daripada dapatan itu, saya curiga bahawa mungkin ada motif tertentu daripada penerbitan video yang dimuat naik di Youtube dan ditonton seluruh dunia,” katanya.

Katanya, walaupun liputan Internet semakin baik, masalah masih boleh berlaku kerana ada tempat tidak menerima liputan disebabkan titik buta terutama berbukit, malah masalah itu juga berlaku di Kuala Lumpur.

“Telahpun dimaklumkan bahawa setiap pelajar yang ada masalah serupa ini dibenarkan tinggal di kampus universiti supaya pembelajaran mereka tidak terganggu dan ramai pelajar luar bandar dari seluruh negara memilihnya.

“Apa perlu pelajar itu membahayakan diri memanjat pokok dan divideokan sedangkan dia ada pilihan hanya berusaha sedikit ke pekan Pitas sama ada menumpang di sekolah atau tempat awam yang liputan baik dan pilihan terbuka luas.

“Malah difahamkan menurut sumber rumah ibu bapanya pun sebenarnya di pekan Pitas.

“Jika ia terjatuh dari pokok itu sudah pasti malapetaka pada keluarganya dan akan menjadi tragedi pada negara,” katanya.

Abdul Rahim berkata, selaku wakil rakyat beliau tidak pernah sunyi berusaha dan meminta kemudahan yang terbaik untuk kawasannya dan ada yang sudah berjaya diperolehi selain ada yang masih menunggu perlaksanaan.

Nama Abdul Rahim disebut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Zahidi Zainul Abidin sebagai individu yang memberi maklumat berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengatakan Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika memuat naik video terbabit.