Sumareh sah bersama Police Tero FC

0
3

PEMAIN sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh yang meninggalkan Pahang baru-baru ini, kini sah bakal beraksi bersama Police Tero FC dalam saingan Liga Thailand.

Kehadiran Sumareh yang menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menundukkan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia / Piala Asia tahun lalu, diumumkan menerusi laman Facebook rasmi kelab berkenaan.

Saingan Liga Thailand akan bersambung pada 12 September ini.

Sumareh akan menggunakan jersi nombor 13 namun peminat pasukan bergelar Naga Perak itu tidak dapat menyaksikan aksinya minggu ini kerana perlu menjalani proses kuarantin bagi mencegah Covid-19.
Sumareh, 26, dilapor mengaktifkan klausa 8.7 yang menyaksikan kontraknya bersama Pahang terbatal selepas didakwa gagal membayar gajinya mengikut perjanjian.

Sumareh sebelum itu tidak kelihatan menjalani latihan bersama skuad kendalian Dollah Salleh sejak sebulan lalu, dipercayai akibat kegagalan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar gaji pemain yang tertunggak beberapa bulan.

Sumareh akan menyertai rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Dominic Tan yang beraksi di kelab sama, selain bakal bersaing dengan Norshahrul Idlan Talaha yang mewakili BG Pathum United – Malaysiapost