Mahkamah tolak permohonan Ahmad Maslan

0
3

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan gagal dalam cubaan untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya membabitkan pengubahan wang haram dan keterangan palsu.

Keputusan tersebut dibuat Hakim Azman Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

“Saya berpuas hati untuk mendapati permohonan difailkan beliau adalah pramatang.

“Pertuduhan yang dihadapi juga tidak cacat dan berasas,” hujahnya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Azman kemudiannya menetapkan tarikh bagi perbicaraan pada 1, 2, 16 dan 23 Oktober dan disambung ke 6 November serta 24 Disember.

Beliau juga menetapkan 4 September sebagai tarikh sebutan kes dan Siti Noor Hafizan Zakaria bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Sementara itu peguam bela Ahmad, Hamidi Mohd Noh memberitahu mahkamah pihaknya akan mengemukakan rayuan bagi keputusan hari ini.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang bernilai RM2 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 21 Januari lalu.

Ia didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut didakwa kerana memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).