ABANG Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous Raissuddin dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor selepas dimasukkan ke Hospital itu Selasa lalu akibat Covid-19.
Berita itu dikongsikan adik iparnya, Shuib Sepahtu menerusi Instagram hari ini.
Pelawak dan usahawan itu dalam masa sama, memohon orang ramai mendoakan agar kesihatan abang iparnya itu diberikan kesembuhan.
“Assalamualaikum semua, Allah Maha Besar.. Allah Maha Berkuasa. Baru dapat panggilan panggilan abang ipar saya dimasukkan ICU.
“Saya mohon mendoakan Ahmad Firdaus Raissuddin semoga diberikan kesembuhan segera. Amin,” tulisnya.
Pada Selasa lalu, Shuib memaklumkan Ahmad Firdous dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor, selepas oksigen dalam badan makin menurun akibat positif Covid-19.
Shuib berkata, tahap oksigen abang iparnya itu semakin menurun selepas lapan hari dikuarantin, namun masih dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Shuib berkata, Ahmad Firdous yang dibawa ke Hospital Serdang dan telah ditidurkan oleh doktor ekoran keadaan kesihatannya yang menurun.
“Ahmad Firdous ditidurkan sejak pukul 5 pagi bagi membolehkan paru-parunya berehat,” katanya.
Isnin lalu, Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. – Malaysiapost

