PUNCA kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin Grand Seasons, hari ini adalah disebabkan salah faham dan berita kononnya premis berkenaan menyediakan perkhidmatan daftar terus (walk-in) untuk vaksinasi bukan warganegara.
Pihak Pengurusan Rumah Prihatin@Grand Seasons dalam satu kenyataan memaklumkan, pengambilan vaksin secara daftar terus untuk warga asing sebenarnya adalah di PPV Bukit Jalil.
“Akibat salah faham berkenaan berlaku ‘rush crowd’ luar biasa di luar jangkaan pengurusan dan penguatkuasa.
“Di peringkat awal, pihak Rumah Prihatin mengambil tindakan bersama dengan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan.
“Namun, warga asing ini tetap tidak mahu bersurai, walaupun diberikan arahan dan amaran,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, keadaan kemudian kembali terkawal dan program vaksinasi yang diuruskan oleh Rumah Prihatin adalah di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak membabitkan mana-mana pihak lain.
Menurut kenyataan itu lagi, Rumah Prihatin kesal dengan kejadian berkenaan dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
“Kami ingin menegaskan bahawa Rumah Prihatin hanya menerima pendaftaran terus untuk warganegara Malaysia sahaja, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan kesesakan di PPV Hotel Grand Season, dipercayai melibatkan warga asing yang beratur tanpa penjarakan fizikal.
Mereka dipercayai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.
Video kesesakan itu dikongsi pengguna Twitter Surirumah Sepenuh Masa @_loveshak, menunjukkan orang ramai dipercayai warga asing beratur panjang dalam keadaan berhimpit tanpa mematuhi SOP. – Malaysiapost

