
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) belum membuat ketetapan berhubung kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau bagi individu yang lengkap dua dos vaksin di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata sehingga kini JAIS belum membuat sebarang keputusan walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengumumkan kelonggaran untuk jemaah lengkap vaksinasi.
“Untuk solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau di Selangor, JAIS belum membuat sebarang keputusan dan masih meneliti beberapa perkara dan bentuk pelaksanaan sesuai.
“Jika ada, akan dimaklumkan kemudian,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Portal tersebut turut melaporkan, Masjid Saidina Ali di Rawang menerusi satu notis memaklumkan belum menerima sebarang arahan terbaharu daripada JAIS untuk membenarkan solat fardu atau solat Jumaat secara berjemaah.
Pada 8 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mengumumkan beberapa kelonggaran untuk individu yang lengkap dua dos vaksin berkuat kuasa 10 Ogos 2021.
Aktiviti dibenarkan untuk semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara iaitu solat di masjid dan surau bagi jemaah lengkap divaksin dan mereka perlu terus pulang selepas selesai bersolat. – Malaysiapost
