Covid-19: Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelancongan meninggal dunia

0
3

PEGAWAI Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menerusi hantaran di Facebooknya, memaklumkan berita kematian Jaimin itu yang disahkan selepas menelefon adiknya, Datuk Seri Sabin Samitah.

Wilfred berkata, Sabin memaklumkan Allahyarham Jaimin menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam.

“Dia dikebumi mengikut SOP Kementerian Kesihatan Malaysia di Cyberjaya, hari ini,” katanya.

Wilfred turut memaklumkan bahawa Jaimin pernah menjadi Timbalannya ketika beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

“Saya akan abadikan kenang kenangan keperibadian dia yang senang bergaul dengan senyuman namun tegas dalam pendirian.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak melabur jasa bakti kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, menerusi laporan media, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Guan Dee Koh Hoi berkata, Jaimin disahkan positif sebelum dikuarantin dan dirawat di sebuah hospital sejak Isnin minggu lalu.

Namun, katanya, beliau menghembuskan nafas terakhir, semalam dan dikebumikan, hari ini.

“Kali terakhir kami bersama ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen pada 29 Julai lalu dan kira-kira jam 4 atau 5 petang.

“Saya bersama empat pengiring termasuk Jaimin melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum keluar Parlimen dan kami semua disahkan negatif.

“Selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan, saya pulang ke Sabah dan pada Isnin lalu, Jaimin yang masih berada di Kuala Lumpur memberitahu yang dia berasa tidak sihat dan saya minta dia buat ujian saringan Covid-19 sekali lagi,” katanya.

Guan Dee turut meluahkan rasa sedih di atas pemergian Jaimin dan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here