Kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap tidak kena pada masa

0
2

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) bimbang langkah kerajaan membenarkan individu dari luar negara yang lengkap pengambilan vaksin menjalani tempoh kuarantin di rumah ketika tiba di Malaysia.

Ketuanya Shahir Adnan berkata, kelonggaran ini akan menyebabkan varian Covid-19 yang lebih berbahaya seperti varian Delta Plus atau varian Lambda boleh menyelinap masuk ke dalam negara.

“DPIM memandang serius risiko membenarkan individu dari luar negara yang lengkap pengambilan vaksin untuk dikuarantin di rumah semasa tiba di Malaysia. Adakah kerajaan tidak mengambil iktibar daripada Kluster Sivagangga yang terjadi pada Ogos 2020?

“Dua varian ganas ini sedang menular di luar negara. Fakta dan sains menunjukkan individu yang sudah divaksin lengkap tidak terkecuali daripada dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi varian baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Shahir menegaskan langkah kerajaan memberi keistimewaan kepada penerima vaksin lengkap tidak kena pada masanya ketika kes jangkitan harian dan kadar kematian korban Covid-19 masih tinggi.

“Pelbagai kemudahan lain yang diumumkan turut dianggap terlalu awal atau pramatang ketika negara mencatatkan kes harian sekitar 18,000-20,000 sehari dan turut mencatatkan kes kematian tertinggi setiap minggu.

“Kemudahan perjalanan dan makan di restoran bakal mengakibatkan negeri-negeri Fasa 2 akan terdedah kepada penularan kluster baru, seperti mana terjadi pada akhir tahun lepas apabila kebenaran rentas negeri diberikan terlalu awal.

“Negeri-negeri hijau ketika itu seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang bertukar menjadi negeri merah dalam tempoh seminggu,” katanya.

Sehubungan itu, Shahir berkata, DPIM berpendapat kerajaan seharusnya memberikan tumpuan kepada program vaksinasi supaya dapat mencapai immunisasi kelompok 80 peratus sebelum apa jua perkara dilonggarkan.

“Kerajaan juga perlu menumpukan usaha dalam menangani kes “brough-in-dead” (BID) yang semakin meningkat. Ini adalah fakta dan sains yang perlu diteliti kerana kes BID adalah mereka yang dilaporkan tidak bergejala atau bergejala ringan pada waktu dikesan positif Covid-19.

“Jadi, kemungkinan besar kes Tahap 1 atau Tahap 2 menjadi ganas kepada Tahap 4 atau Tahap 5 dalam sekelip mata. Mungkin juga ada kes terpencil di mana jenazah disahkan positif setelah dihantar ke hospital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here