Khairy tetap setia dengan Umno, akui tidak percaya Ahmad Zahid

0
3

MESKIPUN mengakui mengalami krisis kepercayaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi namun Khairy Jamaluddin Abu Bakar memilih kekal setia bersama parti itu

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu krisis itu berbangkit selepas wujud desad desus Umno bercadang menjalinkan kerjasama politik dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya beliau berhadapan isu tidak percaya itu selepas Ahmad Zahid pada Oktober lalu dikatakan mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan semua ahli parlimen sokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya Presiden dan jauh sekali saya beri kebenaran pada beliau guna nama saya. Ini yang pertama babitkan masalah kepercayaan.

“Keduanya apabila apabila timbul rakaman perbualan Presiden dengan Anwar, namun perkara itu dinafikannya dan maklum nak buat laporan polis. Bagaimanapun, selepas itu beliau mengaku pula rakaman itu adalah tulen.

“Bagaimana saya hendak percaya presiden macam ini apatah lagi mengenai keputusan baru ini didakwa dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Kerja Tertinggi, sedangkan ada ahli parlimen juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi buat keputusan berbeza,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Khairy menjelaskan pada masa ini beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga keabsahan kerajaan diputuskan di Parlimen September depan.

“Saya masih dengan Umno. Saya setia dengan Umno. Saya masih menteri Umno. Selepas undi percaya selesai September nanti, baharulah kita buat keputusan apa seterusnya,” katanya.

Pada masa ini, beliau mahu menumpukan usaha memberikan vaksin kepada orang ramai selaras dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).-Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here