AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan sokongan pemimpin yang gagal ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk menentukan hala tuju kerajaan kini.
Bagaimanapun, katanya, keputusan Umno sesuatu yang wajib dipatuhi, beliau dan Ahli Parlimen Umno yang lain mewakili parti itu.
Menurutnya, jawatan yang dipegang Ahli-Ahli Parlimen Umno diangkat oleh parti dan kesemuanya amat menyintai Umno.
“Di satu pihak lagi ialah para pengundi dan penyokong yang setia,yang telah mengundi kita kerana mahu kita terus bersama Kerajaan membawa kemajuan, kebajikan dan kesejahteraan untuk rakyat.
“Mereka juga kuat mendokong penyatuan dan perpaduan ummah dan tidak mahukan perpecahan di kalangan orang Melayu dan umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, selain daripada itu rakyat mengharapkan pemimpin membantu, berkhidmat dan menumpukan perhatian bagi meringankan beban kehidupan mereka.
Beliau menegaskan tidak akan terburu-buru membuat keputusan dan akan menggunakan tempoh sebulan menjelang September untuk berunding, berbincang dan beristikarah.
“Semoga akan tercapai satu keputusan yang benar lagi di redhai-Nya. Prinsip tidak boleh dipergadaikan. Perjuangan mesti di teruskan.Tanggungjawab tidak akan kita abaikan,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sanri Yaakob menerusi sidang media memaklumkan diberi tempoh 48 jam daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ahli Parlimen parti itu untuk menentukan pendirian berhubung sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional. – Malaysiapost

