Nurul Huda Abhar
PELUMBA basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sujud syukur sebaik sahaja mendapat tahu bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi.
Berita isterinya mengandung itu disampaikan wartawan Astro Arena, Bazli Azmi ketika menemubual Mohd Azizulhasni selepas jaguh berbasikal trek negara itu menyumbang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo hari ini.
“Alhamdulillah bro (Bazli). Ini berita baik. Dalam kepala saya sekarang saya nak balik jumpa keluarga saya semua.
“Terima kasih untuk sokongan semua dan saya minta maaf. Pingat perak untuk negara untuk kali ini,” katanya dalam temubual itu.
Sebelum itu, Bazli meminta maaf kepada Mohd Azizulhasni kerana terpaksa menyimpan berita isterinya mengandung kerana tidak mahu mengganggu fokus atlet itu untuk beraksi.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni merangkul pingat perak buat Malaysia di peringkat akhir acara keirin lelaki di Izu Velodrome in Shizuoka, Olimpik Tokyo.
Pelumba Britain Jason Kenny memenangi pingat emas sekali gus mempertahankan pingat yang dimenanginya pada Sukan Olimpik Rio 2016 manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memenangi gangsa.
Kejayaan Mohd Azizulhasni meraih pingat perak kali ini memperbaiki pencapaian atlet yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu yang sebelum ini meraih gangsa pada Olimpik Rio 2016. – Malaysiapost

