“Saya tak minta banyak… Tak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, tolong doakan saya”

0
2

SAYA tak minta banyak… untuk semua rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, tolong doakan saya untuk perlumbaan esok, kata jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Azizulhasni yang merupakan pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 lalu, pastinya mengharapkan doa rakyat Malaysia agar dapat menukar kilauan gangsa itu kepada emas pada acara keirin yang berlangsung esok, di Velodrom Izu.

Harapan 32 juta rakyat Malaysia untuk melihat atlet negara merangkul emas sulung di pentas temasya Olimpik kembali bersinar susulan Azizulhasni mara ke aksi suku akhir saingan keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pagi esok.

“Perlumbaan esok memang sukar kerana ada tiga perlumbaan dalam masa satu hari… ada suku akhir, separuh akhir dan final, jadi doakan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Nadi Arena di bumi Tokyo, hari ini.

Dalam saingan itu, Azizulhasni menepati ramalan awal mara ke suku akhir selepas mengungguli saingan pusingan pertama Heat 3, sekali gus mengatasi cabaran lima pelumba lain.

Lebih menarik, seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Shahrom turut layak ke suku akhir esok meskipun terlebih dulu terpaksa beraksi di saingan repechages selepas terjatuh gara-gara bergesel dengan pelumba Britain, Jack Carlin dalam aksi pusingan pertama Heat 2.

Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman berkata, dia perlu membuat percaturan yang bijak bersama jurulatih, John Beasley dan tidak terlalu fokus untuk menang dua perlumbaan awal esok dalam usaha memburu slot ke pentas final.

Namun, dia harus bersedia dengan apa jua situasi memandangkan semua pelumba terdesak untuk menamatkan saingan di kedudukan podium.

“Kalau boleh saya mahu menang secara bersih dan selesa tanpa perlu beraksi di perlumbaan repechages. Saya perlu bijak dan tidak menghabiskan tenaga terlalu awal.
Selain itu, saya kena cuba meloloskan diri daripada pelumba lain dan bersedia kerana pertimbangan ketika berlumba tidak begitu waras.

“Bila penat, pelumba boleh himpit pelumba lain dan tidak kekal dalam laluan. Apabila berada dalam situasi pantas seperti itu, kena ada reaksi balas dan waktu yang tepat untuk memikirkan tindakan selanjutnya.

“Semoga tiada himpitan, tiada kemalangan, tiada apa-apa. Doakan saya untuk menang pingat emas esok insyalah, ” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here