KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menjawab persoalan mengapa parti itu yang tidak mengadakan pemilihan parti secara elektronik terlebih awal.
Menurutnya, pada Jun tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga pernah menyebut kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan undian elektronik.
“Ada ulasan dari Menteri sama bahawa ada banyak cabaran untuk melaksanakannya.
“Kalau Kerajaan dengan segala sumber yang ada pun mengaku ia sukar dibuat, dan selepas lebih setahun mengkaji pun masih tak mampu buat, inikan hendak paksa parti politik laksanakan pemilihan elektronik dalam masa beberapa minggu atau bulan?,” katanya dalam hantaran Facebook.
Shahril berkata, kerajaan juga tidak membenarkan parti lain yang memohon untuk melaksanakan kongres secara hybrid pada Jun lalu, atas sebab situasi semasa Covid-19.
“Itu kisah Mac dan Jun 2021.
“Sekarang Ogos. 20 ribu kes sehari. ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) mahu memaksa Umno laksanakan pemilihan tergesa-gesa membabitkan lebih 20 ribu cawangan serata negara?,” ujarnya lagi.
Semalam, ROS menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim, berkata ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
“Umno perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat,” katanya. – Malaysiapost

