SEBANYAK 67 premis diarahkan tutup serta-merta semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,760 kilang, 15,948 premis perniagaan, 861 tapak pembinaan dan 372 asrama penempatan pekerja.
Katanya, pada masa sama seramai 194 individu dikompaun manakala 31 lagi direman atas kesalahan ingkar SOP.
“Kesemua tindakan itu diambil susulan operasi penguatkuasaan melibatkan 18,978 anggota Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.
“Selain itu, 83,630 pemeriksaan dan snap check Covid-19 telah dilaksanakan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan Operasi BENTENG (Op BENTENG) telah membuat tangkapan terhadap 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat, semalam. – Malaysiapost

