DATUK Seri Dr Noraini Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta.
Noraini dalam kenyataan memaklumkan, selaku Ketua Wanita Umno beliau akur terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos lalu.
Katanya, keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.
“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia.
“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi Kerajaan Persekutuan.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan
“Kementerian ini yang banyak membantu saya melaksanakan tugas. Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” katanya.
Noraini adalah Menteri Kabinet kedua meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melakukan perkara sama Selasa lalu. – Malaysiapost

