PENYANYI Siti Sarah Raissuddin yang menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya selamat melahirkan cahaya mata lelaki kira-kira jam 5 petang tadi.
Berita tersebut dikongsi pengurusnya, Nana Mohd Rom menerusi kenyataan ringkas sebentar tadi.
Menurut Nana, Siti Sarah masih belum sedar dan memohon agar mendoakan isteri kepada pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu itu dipermudahkan urusan.
“Assalamualaikum semua. Untuk makluman Siti Sarah Raissuddin telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi.
“Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” tulisnya ringkas.
Shuib menerusi hantaran di laman Instagram tengah tengah hari tadi memaklumkan isterinya itu akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya pada jam 2 petang.
Terdahulu, Shuib memaklumkan isterinya itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) berikutan tahap oksigen tidak stabil.
Siti Sarah sebelum ini mendedahkan dia dan suami yang serta tiga anaknya disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan susulan pembantu rumah mereka disahkan positif wabak berkenaan pada 27 Julai lalu. – Malaysiapost

