Kartel jenazah Covid-19 ambil kesempatan, kenakan caj tinggi

0
2

ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengingatkan pihak yang menguruskan jenazah Covid-19 di Selangor tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj mencecah RM700 hingga RM1,800 bagi kos pengurusan mayat.

Perkara itu dinyatakan susulan aduan yang diterimanya daripada waris jenazah termasuk ada yang mendakwa kos pengurusan mayat pesakit Covid-19 terlalu tinggi dan membebankan.

Azmizam berkata, harga sebotol debu tayamum misalnya RM15 sahaja, tetapi pihak terbabit didakwa mengenakan caj tayamum mencecah RM700 kepada waris.

“Malah, beg mayat yang digunakan bagi menggantikan kain kafan dan PPE (Pakaian Perlindungan Diri) disediakan oleh pihak hospital secara percuma.

“Sanitasi jenazah pula dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tetapi masih terdapat aduan di mana waris menjadi mangsa dikenakan caj sehingga RM700 malah ada yang mencecah sehingga RM1,800.

“Walaupun pihak JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) telah mengumumkannya pengurusan Jenazah Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor,” katanya dalam hantaran Facebook.

Jelas beliau, setiap kali berlaku kematian Covid-19, emosi waris sangat terganggu dan tidak stabil kerana tidak boleh melihat, mencium, mendakap apatah lagi menguruskan jenazah berikutan prosedur operasi standard (SOP) daripada KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Waktu inilah kartel jenazah Covid-19 mengambil kesempatan menyantuni waris semasa di hospital kerana dalam fikiran waris yang sedang bersedih mereka hanya mahu memastikan jenazah disayangi dikebumikan pada kadar segera,” katanya.

Justeru, katanya, JAIS diminta menyiasat segera perkara itu dan menghentikan aktiviti terbabit daripada terus berleluasa.

“Mohon pihak JAIS siasat dan segera hentikan aktiviti kartel jenazah Covid-19 di Selangor.

“Saya yakin pihak JAIS sedia maklum tentang perkara tersebut. Kegiatan ini semakin berleluasa semenjak NGO yang memberikan perkhidmatan secara percuma tetapi hanya disebabkan tidak bernaung di bawah JAIS telah tidak dibenarkan oleh pihak JAIS untuk menguruskan jenazah Covid-19 di Selangor,” katanya.

Ahad lalu, JAIS memaklumkan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pihak keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang diuruskan oleh jabatan itu.

Sambil menafikan dakwaan sesetengah badan bukan kerajaan (NGO), Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan, termasuk kos membuat keranda jika perlu.

“Bayaran itu akan terus dibayar oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan.

“JAIS juga hanya akan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang dilepaskan (released) oleh pihak hospital sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here