Najamuddin Mohd Nor
SEMUA pihak mesti menghentikan dakwaan siapa yang lebih memiliki sokongan dan patut berkuasa menjadi tampuk pemerintahan negara sekarang.
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan menunjuk memiliki sokongan untuk menjadi kerajaan melalui surat akuan bersumpah (SD) adalah perbuatan yang sia-sia.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju perkara itu diselesaikan di Dewan Rakyat September ini.
“Jangan tanya lagi siapa lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menunjukkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). Cukuplah, bagi saya tiada gunanya kita bercakap mengenainya lagi dan ia sia-sia.
“Semalam, Perdana Menteri dah menjelaskan, Agong mahu perkara ini diselesaikan di Dewan Rakyat, jadi jangan engkar titah Agong. Lebih baik tunggu sahaja Dewan Rakyat bersidang bulan depan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan, hubungan Istana Negara dengan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih harmoni dan baik ketika ini.
“Kita dapat lihat, hubungan Agong dengan Perdana Menteri baik, kalau Agong murka mana boleh mereka jalan beriringan, pastinya Muhyiddin pun tidak dapat masuk ke istana. Ini dapat dilihat. Tiada ketegangan berlaku.
“Jadi kita semua jangan buat Agong ingkar, hentikanlah cakap aku ada banyak sokongan, orang sana sokong, sini sokong. Tak payahlah cakap macam tu.
“Perdana Menteri pun dah jelaskan bahawa kerajaan masih ada majoriti, Agong pun dah dengar dan kita sabar saja menunggu harinya untuk membuktikan siapa yang layak nanti,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamed Nazri berharap tiada lagi cakap-cakap mengenainya lagi untuk mengelakkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Presiden Umno) nak teruskan kata dia ada SD lagi, silakan lah. Dia kata orang buat Agong murka tapi dia tidak sedar yang dia pun boleh bagi Agong murka.
“Bagi saya, hentikanlah. Agong pun ok, hubungan kerajaan dengan istana pun baik. Jadi janganlah kita buat Agong murka dan tunggu saja pengundian di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya.
Semalam, Muhyiddin berkata beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka menarik sokongan kepadanya.
Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Ini kerana, beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti.
Sehubungan itu, Muhyiddin telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.
“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya. – Malaysiapost

