8 MP Umno disebut Muhyiddin kumpulan pertama tarik sokongan – Razlan

0
2
Datuk Razlan Rafii

LAPAN Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dinyatakan beliau dalam perutusan khas tengah hari tadi, adalah kumpulan pertama wakil rakyat Umno yang berbuat demikian.

Ia kemudian disusuli empat lagi Ahli Parlimen Umno yang mengambil tindakan sama semalam, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Razlan Rafii.

Menjelaskannya, Razlan berkata nama lapan Ahli Parlimen berkenaan telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum akhir Julai lalu, sebelum diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

“Jadi jumlah terkini yang menarik sokongan adalah seperti semalam, yang hadir pada sidang media bersama Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

“Sehubungan itu dakwaan Perdana Menteri bahawa lapan saja menarik sokongan tidak tepat,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, 11 Ahli Parlimen Umno dilaporkan telah menyatakan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain Ahmad Zahid, mereka ialah Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang).

Selain itu Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Mengulas lanjut, Razlan meminta Muhyiddin mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya selepas wakil rakyat Umno menarik sokongan.

“Berdasarkan 107 ahli Parlimen pembangkang seperti didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penarikan lapan Ahli Parlimen Umno seperti didakwa Muhyiddin.

“Muhyiddin memerlukan sokongan sekurang-kurangnya lima lagi Ahli Parlimen untuk membuktikan beliau masih memiliki majoriti.

“Maka sila kemukakan nama-nama Ahli Parlimen Umno yang telah menyokongnya bagi membuktikan dia masih memiliki majoriti,” katanya lagi.

Semalam Ahmad Zahid berkata Umno telah menyerahkan surat akuah daripada Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Muhyiddin sekali gus telah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan PN dengan ini telah terbatal.

Tengah hari tadi, Muhyiddin berkata beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka menarik sokongan kepadanya.

Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana, beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here