DAKWAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan desakan agar beliau meletak jawatan Perdana Menteri adalah disebabkan ‘kluster mahkamah’ Umno, hanyalah alasan untuk menutup kegagalan kerajaan ketika ini.
“Muhyiddin kata kononnya yang desak dia letak jawatan ini adalah kluster mahkamah Umno.
“Ini alasan dia untuk tutup kegagalan kerajaannya dan untuk mengaburkan hakikat bahawa dia sebenarnya sudah tidak ada majoriti dan tidak ada keabsahan,” kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Menurutnya, jika mengikut trend sudah pasti mereka yang dikatakan kluster mahkamah Umno akan ingin menutup kes dengan menyokong Muhyiddin seperti dilakukan beberapa Ahli Parlimen lain yang ada kes namun tidak didakwa.
“Namun mereka (kluster mahkamah Umno) tidak buat demikian, tetapi mereka mahu lawan di mahkamah untuk membersihkan nama atas pendakwaan-pendakwaan bermotifkan politik tersebut.
“Saya lihat Muhyiddin tidak mahu letak jawatan sebab jika kerajaan dia jatuh, dia (Muhyiddin), Azmin, Zuraida, Xavier dan lain-lain dalam kerajaannya sekarang yang sebenarnya pula besar kemungkinan akan jadi kluster mahkamah,” katanya.
Isham berkata, kenyataan Muhyiddin yang mengatakan kononnya masih ada majoriti, tidak masuk akal.
Ini kerana katanya, jika benar lapan Ahli Parlimen Umno telah menarik balik sokongan, maka berapa majoriti keseluruhan sebenarnya yang menyokong beliau.
“Sebelum ini dia ada 114 Ahli Parlimen yang menyokongnya, tolak lapan orang sudah tinggal 106. Oleh itu, Muhyiddin kurang lima Ahli Parlimen di bawah majoriti 111.
“Mana dia dapat lagi lima orang untuk capai majoriti semula itu tidak pula disebut. Perlu jelaskan segera siapakah Ahli-Ahli Parlimen tambahan yang menyokongnya kerana parti-parti lain termasuk Pejuang dan Warisan telah membuat kenyataan menolak Muhyiddin,” katanya.
Beliau berkata, jika mereka dan PKR dan DAP sokong Muhyiddin sekalipun, maka mereka akan menjadi Pakatan Harapan (PH) 2.0 semula. – Malaysiapost

