Pemuda PAS cabar Anwar, PH buktikan keabsahan majoriti

0
2

TUDUHAN bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai majoriti adalah suatu persepsi dilemparkan Pakatan Harapan (PH), dengan niat menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. 

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nadzir Helmi berkata sekalipun kerajaan hari ini didakwa tidak mempunyai majoriti, sokongan kerajaan telah teruji melalui undian-undian di Dewan Rakyat sebelum ini, termasuk yang terkini undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.  

Katanya, ia membuktikan PN mempunyai majoriti sokongan semasa kerajaan ini terbentuk.  

“Malah, kerajaan PN berani menzahirkan bilangan sokongan mereka melalui undi percaya dalam sidang Parlimen akan datang. 

“Jika PH begitu yakin mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat, saya cabar ketua umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk buktikan keabsahan majoriti.  

“Sudah berkali-kali beliau berkata mempunyai majoriti, namun sehingga kini ia gagal dibuktikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Nadzir berkata PH tidak perlu membuktikan mereka mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat, jika mereka benar-benar mempunyai majoriti.  

Katanya, kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin melawan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada tahun 2010 membuktikan bahawa majoriti sokongan boleh sahaja dibuktikan di luar dewan. 

“Soalnya bila Anwar dan PH ingin buktikan? Jangan hanya bermain persepsi. Buktikan majoriti anda jika berani,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here