RAKYAT wajib berwaspada terhadap para pemimpin dan parti politik yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan segala cara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya senjata sulit yang halus menggunakan media ditaja oleh pihak asing dan tidak berakhlak, diberi peranan untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak ada kepekaan politik yang sedar dan insaf.
Beliau berkata, media tersebut digunakan untuk melekakan rakyat supaya terlupa bakal menjadi sasaran dan mangsa korban percaturan politik kuasa besar tersebut.
“Rakyat juga perlu sentiasa berwaspada terhadap bala tentera upahan khususnya media tajaan pihak asing yang memainkan peranan dengan bayaran upah yang semahal-mahalnya bagi menjayakan agenda mewujudkan kerajaan proksi yang boleh digunakan tanpa peduli rakyat yang menjadi korbannya.
“Bencana Afghanistan dan Iraq dijadikan medan perang cukup menjadi pengajaran kepada semua. Dalam masa yang sama, perlu disedari bahawa tidak ada negara yang menjadi kuasa besar dunia akan kekal selama lamanya.
“Oleh itu, jangan sekali-kali percaya kepada jaminan perlindungan yang kononnya ikhlas daripada kuasa besar itu,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuat naik di Facebooknya.
Abdul Hadi berkata, semua pihak wajib bersikap bijak dan tidak menjadi mangsa korban serta pangkalan atau proksi kepada pertembungan yang mengorbankan diri bagi pihak negara kuasa besar itu.
“Maka, kita mesti menolak parti dan pemimpin yang dicaturkan oleh pihak lain. Jadilah umat yang merdeka sepenuhnya.
Selamatkan negara daripada dipergunakan rakyat dan tanah air oleh mereka.
“Jangan ulangi sejarah hitam yang menyedihkan. Tegakkan negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat,” katanya. – Malaysiapost

